Adab berpakaian menurut Islam
Sewajarnya seseorang itu memakai pakaian yang sesuai kerana pakaian sopan dan menutup aurat adalah cermin seseorang itu Muslim sebenar.
ISLAM tidak menetapkan bentuk atau warna pakaian untuk dipakai, baik ketika beribadah atau di luar ibadat. Islam hanya menetapkan bahawa pakaian itu mestilah bersih, menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang Muslim.
Di dalam Islam ada garis panduan tersendiri mengenai adab berpakaian (untuk lelaki dan wanita) iaitu:
1. Menutup aurat
AURAT lelaki menurut ahli hukum ialah daripada pusat hingga ke
lutut. Aurat wanita pula ialah seluruh anggota badannya, kecuali wajah, tapak
tangan dan tapak kakinya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Paha itu
adalah aurat." (Bukhari)
2. Tidak menampakkan tubuh
PAKAIAN yang jarang sehingga menampakkan aurat tidak memenuhi
syarat menutup aurat. Pakaian jarang bukan saja menampak warna kulit, malah
boleh merangsang nafsu orang yang melihatnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Dua golongan ahli
neraka yang belum pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti
ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia dan satu golongan lagi wanita
yang memakai pakaian tetapi telanjang dan meliuk-liukkan badan juga kepalanya
seperti bonggol unta yang tunduk.
Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun
bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh." (Muslim)
3. Pakaian tidak ketat
TUJUANNYA adalah supaya tidak kelihatan bentuk tubuh badan
4. Tidak menimbulkan riak
RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa yang melabuhkan
pakaiannya kerana perasaan sombong, Allah SWT tidak akan memandangnya pada hari
kiamat." Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
"Sesiapa yang memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan
memberikan pakaian kehinaan pada hari akhirat nanti." (Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'iy
dan Ibnu Majah)
5. Lelaki, wanita berbeza
MAKSUDNYA pakaian yang khusus untuk lelaki tidak boleh dipakai
oleh wanita, begitu juga sebaliknya. Rasulullah SAW mengingatkan hal ini dengan
tegas menerusi sabdanya yang bermaksud: "Allah mengutuk wanita yang meniru
pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap
perempuan." (Bukhari dan Muslim)
Baginda juga bersabda bermaksud: "Allah melaknat lelaki
berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki." ?(Abu Daud dan Al-Hakim).
6. Larangan pakai sutera
ISLAM mengharamkan kaum lelaki memakai sutera. Rasulullah SAW
bersabda bermaksud: "Janganlah kamu memakai sutera, sesungguhnya orang
yang memakainya di dunia tidak dapat memakainya di akhirat." (Muttafaq
'alaih)
7. Melabuhkan pakaian
CONTOHNYA seperti tudung yang seharusnya dipakai sesuai kehendak
syarak iaitu bagi menutupi kepala dan rambut, tengkuk atau leher dan juga dada.
Allah berfirman bermaksud: "Wahai Nabi, katakanlah (suruhlah)
isteri-isteri dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman,
supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa
mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai
perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah)
Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang." ?(al-Ahzab:59)
8. Memilih warna sesuai
CONTOHNYA warna-warna lembut termasuk putih kerana ia nampak
bersih dan warna ini sangat disenangi dan sering menjadi pilihan Rasulullah
SAW. Baginda bersabda bermaksud: "Pakailah pakaian putih kerana ia lebih
baik, dan kafankan mayat kamu dengannya (kain putih)." (an-Nasa'ie dan
al-Hakim)
9. Larangan memakai emas
TERMASUK dalam etika berpakaian di dalam Islam ialah
barang-barang perhiasan emas seperti rantai, cincin dan sebagainya.
Bentuk perhiasan seperti ini umumnya dikaitkan dengan wanita
namun pada hari ini ramai antara para lelaki cenderung untuk berhias seperti
wanita sehingga ada yang sanggup bersubang dan berantai.
Semua ini amat bertentangan dengan hukum Islam. Rasulullah s.a.w.
bersabda bermaksud: "Haram kaum lelaki memakai sutera dan emas, dan
dihalalkan (memakainya) kepada wanita."
10. Mulakan sebelah kanan
APABILA memakai baju, seluar atau seumpamanya, mulakan sebelah
kanan. Imam Muslim meriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bermaksud:
"Rasulullah suka sebelah kanan dalam segala keadaan, seperti memakai
kasut, berjalan kaki dan bersuci."Apabila memakai kasut atau seumpamanya,
mulakan dengan sebelah kanan dan apabila menanggalkannya, mulakan dengan sebelah
kiri.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Apabila seseorang
memakai kasut, mulakan dengan sebelah kanan, dan apabila menanggalkannya,
mulakan dengan sebelah kiri supaya yang kanan menjadi yang pertama memakai
kasut dan yang terakhir menanggalkannya." (Riwayat Muslim).
11. Selepas beli pakaian
APABILA memakai pakaian baru dibeli, ucapkanlah seperti yang
diriwayatkan oleh Abu Daud dan At-Tarmizi yang bermaksud:
"Ya Allah, segala puji bagi-Mu, Engkau yang memakainya
kepadaku, aku memohon kebaikannya dan kebaikan apa-apa yang dibuat baginya, aku
mohon perlindungan kepada-Mu daripada kejahatannya dan kejahatan apa-apa yang
diperbuat untuknya. Demikian itu telah datang daripada Rasulullah".
12. Berdoa
KETIKA menanggalkan pakaian, lafaz- kanlah: "Pujian kepada
Allah yang mengurniakan pakaian ini untuk menutupi auratku dan dapat
mengindahkan diri dalam kehidupanku, dengan nama Allah yang tiada Tuhan
melainkan Dia.
"Sebagai seorang Islam, sewajarnya seseorang itu memakai
pakaian yang sesuai menurut tuntutan agamanya kerana sesungguhnya pakaian yang
sopan dan menutup aurat adalah cermin seorang Muslim yang sebenar.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar